Senarai 10 Usahawan Paling Kaya Di Malaysia 2017 & Apa Yang Mereka Lakukan
Sebelum ini kami ada berkongsi mengenai billionair yang hidup bersederhana.
Kali ini, kami akan berkongsi sekali lagi mengenai billionair iaitu senarai terbaru untuk usahawan paling kaya di Malaysia bagi tahun 2017 berdasarkan laporan Forbes.
Walaupun rata-rata dari kita semua merungut mengenai kejatuhan nilai ringgit sebelum ini, namun pada bulan lepas, matawang ringgit telah dilaporkan sebagai nilai matawang paling kukuh di Asia buat masa ini.
Daripada laporan di atas, kita juga dapat simpulkan bahawa keadaan ekonomi sekarang bukan berada di kadar tenat secara keseluruhan — hanya sesetengah industri sahaja yang sedang mengalami keruduman dari segi aktiviti dan nilai pasaran dunia.
Ini kerana daripada senarai 10 usahawan paling kaya di Malaysia pada tahun 2017 di bawah, hanya mereka yang memberi fokus kepada beberapa jenis industri tertentu sahaja yang mengalami sedikit kemerosotan — manakala selebihnya melihat lonjakan naik kepada aset dan nilai kekayaan.
Kami juga menyelitkan beberapa fakta menarik mengenai mereka.
Semoga kita mampu menjadikan usahawan paling kaya di Malaysia sebagai inspirasi kita untuk terus maju menghadapi cabaran dalam dunia bisnes & keusahawanan.
10. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
Nilai kekayaan: USD 1.8 billion
Sumber asal: Self made (tidak diwarisi)
Industri utama: Kejuruteraan, tenaga & pembinaan
Ranking dunia: #1,161
Seorang yang tidak asing lagi dalam dunia keusahawanan dan senario politik tempatan — beliau juga pernah dinobatkan secara rasmi sebagai usahawan bumiputera paling kaya pada tahun 2015.
Bermula sebagai pedagang beras pada era 90-an, beliau kini lebih memberi fokus kepada organisasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti MMC Corp serta DRBHicom.
Penglibatan MMC Corp dalam projek MRT telah melonjakkan nilai kekayaan beliau.
Walaupun dikenali sebagai seorang yang sangat bersederhana dan low profile, beliau tidak pernah sunyi daripada dikaitkan dengan kontroversi serta liputan media.
Contohnya, beliau baru-baru ini menerima kritikan disebabkan penjualan 49.9% saham Proton kepada syarikat dari negara Cina, Geely Holding.
Ketahui Kaedah Memulakan Startup Dengan Modal Bawah RM500!
9. Tan Sri Datuk Tiong Hiew King
Nilai kekayaan: USD 2 billion
Sumber asal: Self made (tidak diwarisi)
Industri utama: Pembalakan, perhutanan & media
Ranking dunia: #1,030
Pernah menjadi seorang penoreh getah di usia remaja, beliau kini merupakan pengasas kepada organisasi gergasi, Kumpulan Rimbunan Hijau.
Organisasi beliau mempunyai operasi perhutanan di 16 buah negara termasuk Papua New Guinea dan Malaysia.
Beliau juga pernah diberi penghormatan oleh Ratu Elizabeth walaupun menerima kontroversi dan tentangan dari pencinta alam sekitar.
Selain itu, Kumpulan Rimbunan Hijau juga memiliki syarikat penerbitan dan akhbar berbahasa cina di Malaysia, Amerika Syarikat serta Kanada.
8. Tan Sri Lau Cho Kun
Nilai kekayaan: USD 2.08 billion
Sumber asal: Diwarisi dari keluarga
Industri utama: Kelapa sawit & hartanah
Ranking dunia: #973
Syarikat yang beliau ketuai, Hap Seng Consolidated Berhad, terlibat dalam pelbagai aktiviti dan industri termasuk automotif — di mana syarikat ini memegang hak penjualan serta pengedaran Mercedes-Benz di Malaysia.
Namun, aktiviti dalam sektor hartanah sebenarnya yang menyumbang kepada lonjakan nilai kekayaan beliau.
Walaupun tidak sering diperhatikan oleh penganalisa kewangan semenjak tahun 2012, syarikat beliau berjaya memberi pulangan 400% kepada pelabur dalam tempoh 3 tahun.
7. Tan Sri Yeoh Tiong Lay
Nilai kekayaan: USD 2.1 billion
Sumber asal: Self made (tidak diwarisi)
Industri utama: Pembinaan, tenaga & hartanah
Ranking dunia: #973
Beliau merupakan pengasas kepada syarikat korporat gergasi, YTL dan keluarga Yeoh memang merupakan antara keluarga elit yang terkenal.
Kekayaan keluarga beliau pernah mendapat perhatian dunia apabila pada tahun lepas, foto rumah agam beliau di Kuala Lumpur tular di media sosial.
Dapatkan Kemaskini KuDagang Terus Ke Emel Anda Di Sini
6. Tan Sri Dato’ Lim Kok Thay
Nilai kekayaan: USD 4.45 billion
Sumber asal: Diwarisi dari keluarga
Industri utama: Kasino, hiburan & perjudian
Ranking dunia: Tiada
Bapa beliau, mendiang Tan Sri Dato Lim Goh Tong merupakan seorang lagenda dalam dunia keusahawanan dan bapa kepada industri kasino negara ini.
Namun, beliau juga tidak kurang hebatnya kerana berjaya membawa empayar yang diwarisi ke peringkat global.
Beliau tidak mahu mewarisi gelaran “Raja Kasino” seperti yang diberi kepada mendiang bapa beliau.
Sebaliknya, beliau berazam menjadi “Raja Kapal Cruise Asia” dengan memiliki beberapa syarikat pelayaran cruise menerusi empayar Genting.
Beliau pernah berkata hanya akan bersara apabila keseronokan melakukan perniagaan telah lenyap dalam diri beliau.
5. Tan Sri Dato’ Lee Shin Cheng
Nilai kekayaan: USD 4.7 billion
Sumber asal: Self made (tidak diwarisi)
Industri utama: Kelapa sawit, bahan kimia & hartanah
Ranking dunia: #348
Sewaktu beliau berumur 11 tahun, beliau pernah berhenti dari sekolah untuk menjual aiskrim bagi membantu keluarga beliau yang susah.
Setelah menyedari kepentingan pelajaran untuk mengubah nasib beliau ketika itu, beliau kembali bersekolah setelah meningkat usia remaja.
Melalui IOI Group milik beliau, beliau membawa Malaysia sebagai antara negara utama dalam pasaran kelapa sawit dunia.
Disebabkan pasaran kelapa sawit dunia yang tidak menentu, beliau jatuh dari tangga ke-3 terkaya di negara ini semenjak tahun 2014.
Namun, beliau tetap yakin dan passionate dalam industri ini.
4. Tan Sri Dr Teh Hong Piow
Nilai kekayaan: USD 4.75 billion
Sumber asal: Self made (tidak diwarisi)
Industri utama: Perbankan, kewangan & pelaburan
Ranking dunia: #348
Antara ‘orang lama’ dalam dunia perbankan, beliau membina Public Bank dari kosong dan sekarang; saham beliau dalam bank tersebut adalah antara penyumbang terbesar kepada kekayaan beliau.
Walaupun Public Bank dikritik disebabkan budaya pengurusan yang sangat konservatif, namun bank ini merupakan pemegang rekod membuat keuntungan berterusan selama 50 tahun.
3. Ananda Krishnan
Nilai kekayaan: USD 6.5 billion
Sumber asal: Self made (tidak diwarisi)
Industri utama: Telekom, media & minyak
Ranking dunia: #219
Beliau merupakan seorang hartawan yang melibatkan diri dalam pelbagai industri.
Antara syarikat-syarikat milik beliau yang sangat dikenali oleh kebanyakan rakyat Malaysia adalah Maxis, Astro serta pawagam TGV.
Beliau juga merupakan salah seorang dari pengarah awal untuk Petronas dan dikatakan beliau merupakan individu yang memberi idea mengenai pembinaan Menara Berkembar Petronas kepada Tun Dr Mahathir.
Ananda Krishnan merupakan seorang lagi antara usahawan paling kaya di Malaysia yang jarang sunyi daripada kontroversi.
Beliau dikehendaki oleh Mahkamah Tertinggi India untuk siasatan mengenai urus niaga beliau di negara itu. Selain itu, beliau juga pernah dikaitkan dengan kontroversi 1MDB.
Ketahui Kaedah Memulakan Startup Dengan Modal Bawah RM500!
2. Tan Sri Quek Leng Chan
Nilai kekayaan: USD 6.8 billion
Sumber asal: Diwarisi dari keluarga
Industri utama: Perbankan, kewangan, pelaburan & hartanah
Ranking dunia: #202
Beliau merupakan salah seorang dari pengasas Kumpulan Syarikat Hong Leong Malaysia — yang dibangunkan bersama adik-beradik beliau menggunakan kekayaan yang mereka warisi.
Kini, beliau merupakan orang ke-2 terkaya di Malaysia dan keluarga Quek merupakan keluarga ke-7 paling kaya di Asia.
Beliau bersara dari jawatan beliau di Hong Leong pada tahun lepas dan kini lebih memberi fokus kepada pelaburan.
1. Robert Kuok
Nilai kekayaan: USD 11.4 billion
Sumber asal: Self made (tidak diwarisi)
Industri utama: Kelapa sawit, perkapalan & hartanah
Ranking dunia: #115
Beliau merupakan ‘jaguh’ bertahan dalam senarai usahawan paling kaya di Malaysia.
Walaupun sering disalah anggap, namun beliau bukan seorang “Tan Sri” mahupun “Tun”.
Beliau menolak daripada menerima sebarang bentuk darjat penghargaan kerana beliau hanya mahu dikenali sebagai seorang usahawan dan ahli perniagaan yang cemerlang; bukan sebagai seorang yang berpangkat atau mempunyai pengaruh politik.
Pernah bermula sebagai seorang kerani rendah, beliau akhirnya digelar sebagai “Raja Gula Asia” disebabkan monopoli beliau dalam industri gula.
Empayar perniagaan beliau juga luas dan merangkumi pelbagai syarikat termasuk rangkaian hotel mewah Shangri-La serta pawagam GSC.
Sumber:
1. Pikri, E. (2017, July 7). Here’re Malaysia’s Richest Men In 2017 And How They Got There. Retrieved July 15, 2017, from https://vulcanpost.com/614437/2017-richest-men-malaysia/
2. Malaysia’s 50 Richest People. (n.d.). Retrieved July 15, 2017, from https://www.forbes.com/malaysia-billionaires/list/
3. Kudagang
0 komentar:
Posting Komentar